1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer>
  • Banner

2 sebab utama kenapa insulator pagar elektrik penting

PDFPrintE-mail

Artikel Terkini - pagar elektrik


gambar 1: insulator yang diperbuat dari bahan khas kalis air

Majoriti pembeli pagar elektrik pada peringkat awal mengabaikan penggunaan pelapik atas alasan kos dan kerumitan untuk memasangnya. Ini ditambah dari cerita kedai kopi sekitar kampung tentang pemasangan pagar elektrik  yang rata-ratanya tidak betul. Masing-masing balik pasang dengan tersenyum yakin.

Namun apabila pagar yang dipasang tidak beroperasi seperti diharapkan, masing-masing barulah menyesal dengan anak getah atau sawit yang dibaham oleh musuh. Itu belum termasuk kos membeli pagar elektrik. Harga anak getah sekarang bukannya murah seperti 5-6 tahun dulu.

Kes seperti ini, sudah menjadi rutin saban tahun untuk kami di PVH selesaikan.

Antara punca, kenapa babi tetap masuk walaupun kebun sudah dipagar elektrik ialah pekebun tidak memakai insulator yang dikhaskan sebagai pelapik yang memegang tali poli/ dawai pagar. Pekebun cuba berjimat cermat tapi tidak kena pada tempatnya.

Tidak seperti pagar biasa, sistem pagar elektrik agak teknikal atau dengan bahasa kampungnya, pengguna perlu mengikut segala peraturan asasnya. Pagar elektrik tak ubah seperti sistem paip air di rumah anda, sekiranya ada bocor walaupun sedikit pada permulaan paip sehinggalah sampai ke rumah anda. Jawabnya tak merasa air lah.

gambar 2: contoh tiang pagar yang gunakan pelapik tiub - sistem pagar babi

Begitu juga, pagar elektrik sekiranya setiap tiang pagar berlaku kebocoran arus elektrik. Jawabnya di hujung pagar sana, anda boleh pegang. Jawabnya lagi babi senang-senang akan masuk baham anak getah. Kami di Pergau Hatchery selalu mengambarkan situasi sebegini untuk mudahkan pembeli paham kenapa insulator sangat penting.

Ini diburukkan lagi dengan cuaca di negara kita, yang selalu ditimpa hujan. Arus elektrik dengan air, umpama aur dengan tebing. Pagar elektrik tanpa insulator ketika waktu hujan, arus elektrik mengalir terus bersama air hujan tadi ke dalam tanah. Harus diingat sistem pagar ini mempunyai sistem arus bumi. Litar pagar hanya lengkap bila arus dari tali pagar bersentuh dengan arus bumi.

Dalam situasi hujan ini, sistem pagar elektrik yang buruk ini akan sentiasa bekerja. Kesannya kedua yang harus diterima bagi tiada pelapik, energizer pagar akan cepat rosak. Ini energizer ini kerana sentiasa bekerja 24 jam. Umpama enjin kereta yang sentiasa dipaksa, lama kelamaan kong. Untuk rekod kami, setakat ini ada pembeli yang hanya sempat pakai 2 bulan saja. Energizer beliau rosak kerana litar pagar yang buruk iaitu tanpa insulator.


gambar 3:pelapik biji yang dipasang pada tiang kayu - sistem pagar gajah


Manakala untuk rekod PVH ada energizer yang mampu bertahan sehingga lebih dari 10 tahun kerana litar pagarnya yang cukup lengkap syaratnya iaitu pembeli memasang insulator pada setiap tiang pagar. Insulator pagar elektrik ini dibuat dari bahan khas yang kalis air, senang cerita macam daun keladi dengan air.

Ringkasan artikel ini:

  1. Pagar anda bocor, bila bocor musuh senang masuk
  2. Energizer anda cepat rosak

Diharap artikel ini dapat memberi penjelasan yang lebih jelas kepada bakal pembeli/pengguna di luar sana.

Laman

  • Banner